Jumaat, 13 Disember 2013

Eksperimen Ingkar.




I

Tahun 2200. Tamadun manusia jatuh kembali. Teknologi sudah tidak dibangunkan. Hampir semuanya telah musnah, kecuali beberapa jenis senjata dan barang keperluan. Kerana itu, pada zaman ini kebanyakan tentera hanya menggunakan pedang sahaja.

Pada saat ini, hanya terdapat dua buah kerajaan besar di atas muka bumi ini. Kerajaan Tanah Utara dan kerajaan Azkara. Kebanyakan negara sudah lama kharab. Sekian lama keadaan aman selepas perang dunia ketiga. Kini peperangan tercetus antara kedua-dua kerajaan itu. Perang ini sudah berlangsung selama lebih satu tahun. Tiada pihak yang mahu bertoleransi.

Dalam diam, pihak Tanah Utara mempunyai satu unit tentera elit yang sekian lama disimpan. Unit ini telah dirahsiakan kewujudannya oleh pihak kerajaan Tanah Utara. Unit ini telah dilatih khas dan sangat mahir akan selok-belok setiap tempat di negara ini. Namun, Unit ini agak bebas apabila tiada operasi. Mereka berada di mana-mana. Unit ini juga telah menjadi tentera upahan kepada mereka yang memerlukan.

Tetapi, kebelakangan ini mereka diam. Tiada operasi dilakukan. Seolah-olah mereka berhibernasi.

Setelah diperam untuk sekian lama, kini unit ini telah diturunkan pada peperangan pada kali ini. Unit ini digelar... Pasukan Buraq.

II

“Bangun!!!” Laungan itu memecahkan kesunyian di bilik ini. Hanya dengan suara itu, mimpi siang dia berkecai menjadi partikel halus yang tidak mampu dilihat. Dia, Aidid. Pemuda yang ramah. Suka tersenyum. Semua orang senang dengan dirinya.

Mukanya bujur sireh. Tubuhnya sederhana tinggi. Tidak terlalu kurus dan tidak terlalu gemuk. Kulitnya sawo matang. Akhlaknya baik, disamping sikapnya yang baik hati dan suka membantu orang lain juga tegas. Otaknya cerdas ditambah dengan satu kelebihan istimewa yang diperolehi, membuatkan dia dihormati kawan dan ditakuti lawan.

Langit sedang membuka laluan untuk matahari menerangi alam ini. Tumbuh-tumbuhan sedang khusyuk bertasbih atas kekuasaan-Nya. Suara burung mula berkicauan. Embun masih lagi bertakhta di atas dedaunan. Sekalipun perang masih berjalan, pagi ini tetap terasa indah.

. . .

“Bersedia! Situasi Tanah Utara dalam bahaya. Musuh sedang mengasak benteng dengan hebat. Tentera Tanah Utara mungkin tak mampu bertahan. Kebanyakan tentera sudah keletihan. Mereka sangat memerlukan kita. Tugas kita, menyerang pihak musuh. Sekaligus mempertahankan tanah ini daripada dicerobohi.” Seorang lelaki berpangkat jeneral memberikan taklimat ringkas. Terpahat megah nama Akbar di dadanya. Di hadapannya berdiri tegap lebih satu ratus orang anggota pasukan khas yang bersedia menerima arahan.

“Jika semua sudah bersedia, mari kita bergerak. Tapi sebelum itu, Amin, sila bacakan sedikit doa selamat. Semoga Yang Maha Kuasa memberkati usaha kita.” Ujar Jeneral itu lagi. Seusai dia menamatkan taklimatnya, seorang lelaki datang ke hadapan lalu membacakan doa dan kemudian diaminkan semua yang berada di situ.

Termasuk dia.

III

Lebih seratus buah motorsikal lasak yang telah diubah suai ditunggang laju melepasi pokok-pokok dan bangunan-bangunan yang sudah tidak sempurna sifatnya akibat perang. Kesemua motorsikal itu hanya boleh ditunggang oleh mereka yang telah dilatih. Semuanya ditunggang dengan laju, tetapi hanya bunyi angin yang menghentam bangunan sahaja yang kedengaran. Tiba-tiba, kesemua motorsikal itu berhenti. Lalu Jeneral Akbar yang berada di hadapan sekali bersuara.

“Azmin, Tariq. Kamu berdua hidupkan kasut kamu, kemudian pergi tinjau keadaan medan tempur. Jangan serang pihak musuh. Faham?!”

“Faham!” Kedua pemilik nama yang disebut menjawab serentak, lalu mereka berdua mula menghidupkan kasut mereka. Dengan teknologi ‘terkini’, pemakai kasut itu boleh berlari dengan sangat laju. Sementara menunggu kedua-dua peninjau tersebut pulang, mereka yang tinggal mempersiapkan senjata masing-masing dan memeriksa peralatan yang akan digunakan sebentar lagi.

Selepas satu setengah jam menunggu, kedua-dua peninjau tadi pulang. Semua mata memandang ke arah mereka. Tanpa mempedulikan mereka semua, kedua-dua peninjau tadi terus berjumpa dengan Jeneral Akbar yang sedang menunggu. Tiga minit berlalu, perbincangan antara Jeneral Akbar dengan dua orang peninjau tadi tamat.

“Baiklah, semua berkumpul!” Jeneral itu memberi arahan.

“Saya diberitakan bahawa jumlah tentera musuh dalam dua puluh ribu orang. Tenaga infantri mereka ialah separuh daripada jumlah kekuatan mereka. Tapi, tentera Tanah Utara sudah menumbangkan hampir suku daripada mereka. Mereka menggunakan kereta kebal sebanyak lima puluh buah. Setiap satu boleh memuatkan empat orang. Di pihak Tanah Utara,  tujuh peratus daripada mereka sudah gugur. Unit ini saya sudah bahagikan kepada tiga pasukan. Pasukan-pasukan itu adalah skuad penggempur, penembak tepat dan skuad ‘camou’. Saya telah meletakkan tiga puluh lima orang sebagai penembak tepat. Dua puluh orang dalam skuad ‘camou’. Selebihnya berada dalam pasukan penggempur.

“Ingat! Tugas kita hanya membantu pihak tentera Tanah Utara dalam memperkuatkan serangan. Jangan bunuh kaum wanita, kanak-kanak, orang tua dan mereka yang berada dalam rumah ibadat dan mereka yang berlindung dalam rumah. Jangan memusnahkan rumah ibadat mereka. Jangan memusnahkan tanaman dan ternakan. Lagi satu, jangan lupa hidupkan kasut kamu semua.” Lelaki itu memberi peringatan.

IV

“Siapakah kita?”Seorang pemuda menjerit.

“Tentera Tuhan!” Kesemua ahli pasukan elit itu menjawab. Penuh bersemangat.

“Apakah matlamat kita?” Pemuda berpangkat Koperal itu melaung.

“Menang!!”

“Apakah tujuan kita?”

“Syurga!!”

“Kerana siapakah kita berjuang?”

“Allah!!”

“Siapa?”

“Allah!!”

“Siapa?”

“Allah!!”

“Takbir!!”

“Allahu akbar!!!”

            Dan perang sebenar pun bermula.

V

ZASS!!!

Sekelip mata tubuh dua orang musuh yang berada di hadapannya terpisah dari kepala. Mangsa yang lain terus diburu. Sasarannya, leher. Dengan pergerakannya yang hampir tidak mampu dilihat, tugasnya menjadi lebih senang. 

Dengan menggunakan kaca mata khas, dia dapat membeza dan mengenali rakannya dan tentera Tanah Utara dengan senang. Dengan kaca mata itu juga dia dapat melihat pergerakan rakan-rakannya. Pergerakan mereka sangat laju. Tentera yang berhadapan mereka menjadi tidak tentu arah.  Dan dalam kekeliruan mereka itu, sepantas kilat tubuh mereka terpisah dari kepala.

“Aidid! Musuh nampaknya mahu berkumpul di sebelah tenggara. Mahu serang mereka?” Rakannya menghubungi dia melalui interkom untuk meminta pendapat.

“Tanya Jeneral dulu. Aku rasa itu mungkin satu perangkap. Mungkin kau boleh cadangkan kepada Jeneral untuk menghantar skuad camou untuk menyeludup masuk ke kawasan mereka dan menyerang mereka dari dalam.” Ujar Aidid.

“Baik.”

Pemburuannya diteruskan. Siapa sahaja yang menghalang laluannya pasti akan tumbang. Bilangan tentera infantri musuh sekarang kurang daripada jumlah asal mereka. Jumlah keseluruhan tentera Tanah Utara pula hanya sekitar lima ribu orang. Tidak termasuk jumlah anggota pasukan Buraq.

‘Arka.’ Tiba- tiba nama itu melintas mindanya selepas terpandang seorang jeneral tentera musuh sedang melibas-libas pedangnya. Matanya memandang tajam ke arah jeneral itu.

Tubuh lelaki itu tegap. Dia terkenal dengan pergerakannya yang pantas semasa bertarung. Mukanya sentiasa serius. Nampaknya hari ini dia memakai baju perisai yang kukuh. Daripada titanium mungkin. Sarung tangan dan kasutnya diperbuat daripada besi dan hujungnya direka dengan bentuk seperti duri. Bucunya sangat tajam.

Jeneral itu sudah melakukan terlalu banyak kemusnahan di dunia ini. Aidid sudah lama menyimpan hasrat untuk membunuh jeneral itu dengan tangannya sendiri.

Aidid kemudiannya menyahaktifkan kasut yang membantunya untuk bergerak dengan sangat pantas. Dia berjalan perlahan mendekati jeneral musuh itu.

“Arka!” Suaranya kuat. Jeneral pihak musuh itu memandang. Kemudian jeneral itu tersenyum.

“Nampaknya ada tikus nak menyerah diri kepada kucing... Menarik. Apa kata kau berundur awal-awal. Bukan apa, takut kau merana nanti. Atau dalam kata lain, MATI.” Jeneral itu berkata sinis.

“Heh. Mari kita lihat siapa tikus dan siapa kucing. Setuju?” Aidid mencabar. Tanpa menjawab, jeneral itu terus menyerang Aidid tanpa sebarang amaran.

“Aku anggap itu sebagai tanda persetujuan.” Aidid tersenyum. Dan pertarungan antara mereka berdua pun bermula.

VI

Aidid menyerang. Pantas. Tapi serangan itu dapat dielak Jeneral Arka. Jeneral itu lalu melancarkan sepakan yang menyasarkan bahagian kepala. Aidid mengelak lalu ternampak satu ruang yang tidak dilindungi, lalu dia terus menghunus pedang yang berada di gengamannya. Namun...

“Kau ingat senang-senang saja aku nak beri peluang, ha?” Suara itu tiba-tiba mengegarkan gegendang telinga Aidid. Tangannya dihentak dengan kuat. Pedangnya terlucut dari genggaman. Jatuh berhampiran kakinya. Dia menoleh ke belakang. ‘Tak guna! Sejak bila dia ada di sebelah aku?’ hatinya menyumpah.

Jeneral Arka terus melancarkan serangannya. Aidid cuba mengelak, tetapi dia jatuh tersadung sebuah batu. Aidid cemas. Jeneral Arka terus menerpa Aidid. Aidid kemudiannya menendang tubuh jeneral musuh itu. Malangnya, tubuh itu tidak berganjak. Cuma tindakannya tergendala seketika.

Kesempatan itu digunakan Aidid untuk bangun. Namun langkahnya tidak stabil. Jeneral itu tidak puas hati. Dia terus bergerak laju menyerang Aidid yang belum sempat hendak bersedia. Satu tendangan padu singgah di muka Aidid, dia tercampak beberapa kaki dari tempat dia berdiri. Namun, naluri pahlawan tidak pernah hilang daripada dirinya.

Dia mampu berdiri semula. Tenaganya dikawal sebaik mungkin. Aidid mula mengatur serangan balas. Dia mengarahkan sepenuh tenaganya ke tangan dan kakinya. Serangan yang penuh bertenaga. Arka mengelak. Sangat rapat jarak antara mereka. Jeneral itu mencengkam tangan Aidid. Tidak lama kemudian, Aidid tercampak lagi sekali. Mulutnya mula berdarah. Dia seperti sudah tidak mampu lagi untuk berdiri. Kemudian jeneral itu berkata.

“Akhirnya, izinkan aku tamatkan riwayat hidup kau dengan segera ya?” Pedang di tangannya mula digerakkan ke hadapan untuk menikam musuhnya. Aidid tersenyum. Riak wajah Jeneral Arka berubah tiba-tiba. Dia khali.

Dalam sekelip mata. Tubuh itu tumbang ke tanah.  Matanya membulat. Seperti tidak percaya akan apa yang dihadapinya sekarang. Dia memandang perutnya. Ada sebilah pedang yang terbenam di situ. Darah keluar membuak-buak seperti tidak mahu berhenti. Pedih. Sakit. Badannya terasa lesu.

“Bukan aku tak izinkan kau tamatkan riwayat hidup aku. Tapi, tuhan belum takdirkan aku untuk mati. Malangnya... riwayat hidup kau yang tamat dulu. Minta maaf.” Aidid memberi ucapan terakhir sebelum Jeneral Arka menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Dia pergi ke atas sebuah bukit yang agak terpencil. Dia penat. Lelah. Mungkin berehat barang sepuluh minit mampu memulihkan tenaganya. Dia memandang persekitarannya. Sesekali dia melepaskan keluhan. Matanya menatap lesu persekitaran. Pokok-pokok tidak lagi menghijau. Burung-burung seperti sudah serik untuk keluar dari tempat persembunyian. Angin sentiasa bertiup sekalipun tidak kencang seperti dulu.

. . .

Tenaganya kembali pulih. Senapang yang disembunyikan di balik sebuah batu besar berdekatan diambil. Kemudian di duduk kembali sambil menghadap ke arah tenggara. Dia mengambil nafas panjang. Perlahan-lahan keadaan di sekelilingnya berubah. Cahaya hijau yang nipis kelihatan mula menyeliputi tubuhnya. Cahaya itu bergerak perlahan menuju ke arah senapang yang dipegang.

Kemudian, dia mengangkat senapang itu. Busur itu disasarkan ke arah  kereta-kereta kebal yang masih lagi gah di barisan hadapan. Sasarannya dibidik setepat mungkin.

“Cun... Bismillah.”

BAMM!!!





VII

“Lihat!” Salah seorang penembak tepat bersuara agak kuat sambil menunjuk ke satu arah.

Lok memandang  ke arah yang ditunjukkan oleh rakannya itu. Tidak lama kemudian, sebuah senyuman terukir di wajahnya yang bulat itu.

“Heh. Dia dah mula dah.” Kata Lok.

Di hadapan mereka, kelihatan satu persatu kereta kebal yang sebelum ini gagah membelah lautan tentera Tanah Utara, meletup dan melambung ke udara. Saiznya yang besar itu membuatkan tentera yang berada di bawahnya tidak sempat mengelak dari dihempap kereta kebal itu.

Di satu tempat yang lain....

“Jeneral, arah tenggara.” Suara itu menggegarkan gegendang telinga Jeneral Akbar, lelaki yang memimpin unit Buraq ini. Jeneral itu mengalihkan pandangannya selepas membunuh musuh di hadapannya.

“Subhanallah. Siapa yang mampu melakukan semua itu?” Anggota unit Buraq yang berada di sebelahnya bertanya. Jeneral itu memandang lelaki itu sebelum menjawab.

“Siapa lagi? Ada seorang saja dalam pasukan kita mampu buat perkara seperti itu.” Jeneral itu menjawab. Anggota unit Buraq yang bertanya tadi terpinga-pinga. Kemudian jeneral tersebut menekan butang interkom pada topi keselamatannya.

“Semua. Tumpukan perhatian kamu dalam pertempuran ini. Biarkan Aidid selesaikan kerja dia.” Jeneral itu memberikan arahan.

VIII

Dia penat.

Lelah.

Nafasnya mencungap. Oksigen seperti susah untuk memasuki peparunya. Adrenalin menguasai badannya. Otot-otot badan terasa sengal. Matanya berpinar. Bumi terasa berpusing sebentar.

Dengan sisa kudrat yang ada, dia gunakan untuk duduk memulihkan tenaganya di celah rekahan sebuah batu besar.

            “Penat? Itulah. Siapa suruh guna banyak sangat. Badan kamu masih belum mampu lagi. Lagipun kamu mesti tahu yang setiap sesuatu yang mempunyai kelebihan, padanya pasti mempunyai kekurangan.” Satu suara menegur Aidid. Dia tersenyum mendengarkan suara itu.

“Nak buat macam mana? Nak tembus pertahanan mereka punyalah susah. Walaupun kita laju dan kelengkapan kita agak canggih, tapi seperti yang tuan cakap tadilah, setiap sesuatu yang mempunyai kelebihan, pasti mempunyai kekurangan. Tapi, saya tak sangka yang mereka ada simpanan kereta kebal. Sampai habis tenaga saya saya dikerahnya.” Dia menjawab.

“Hmm. Macam-macam. Makan ni. Pulihkan tenaga kamu cepat. Saya lindungi kamu.” Kata Jeneral itu sambil tersenyum, lalu menyerahkan satu bar coklat kepada Aidid.

Alright, terima kasih Jeneral.” Dia terus duduk di situ untuk beberapa minit ditemani ketuanya yang baik hati itu.

Sedang perang rancak berlangsung, dua orang anggota unit Buraq itu duduk berehat. Menanti tenaga kembali pulih.

IX

“Nampaknya keadaan sudah mula memihak kepada kita.” Ujar salah seorang tentera kepada rakannya.

“Mungkin ya, mungkin tidak. Kita masih belum boleh selesa. Selagi perang ini belum berakhir.” Kata rakannya itu.

“Setuju.”

“Apa yang kamu berdua bualkan itu? Kamu tak sedar ke masih ada baki musuh yang sedang menyerang ni? Fokus!” Ketua kepada mereka berdua menegur. Lalu mereka berdua bergegas kembali ke posisi masing-masing.

Di satu tempat yang lain....

“Semua, berundur. Berkumpul di tapak operasi.” Suara Jeneral Akbar masuk ke interkom semua anggota pasukan Buraq.

“Mari.” Jeneral Akbar menghulurkan tangannya, membantu Aidid untuk berdiri.

“Misi kita dah tamat?” Dia bertanya. Matanya melirik ke arah medan perang. Saki baki tentera musuh sudah dibunuh.

“Tamat. Untuk hari ini dan kali ini.” Jeneral yang agak berumur itu menjawab.

“Untuk kali ini? Apakah akan berlaku perang lagi? Saya sudah penat.” Dia tampak letih. Langkahnya pun kurang tersusun.

“Hmm. Siapa yang tahu aturan Tuhan? Harapnya perang tidak akan meletus lagi. Biarlah ini yang terakhir. Kita sama-sama mendoakan dunia ini aman dan sejahtera selamanya.” Jeneral Akbar menjawab sambil memandang ke arah langit.

“Tapi perang ini masih belum tamat.” Dia berkata.

“Akan tamat. Insya-Allah.”

“Bila kiamat itu sampai.” Ujar Aidid.

“Semuanya adalah qadak dan qadar, kita hanya perlu beriman dengannya.” Jeneral Akbar menjawab.

Seketika kemudian Jeneral Akbar memandang Aidid yang berjalan di sebelahnya. ‘Terima kasih sahabat. Kau dah banyak berjasa untuk kami dan agama suci ini. Walaupun kau sudah tiada lagi, kau telah meninggalkan sesuatu yang amat berguna untuk kami di dunia ini.’ Gumam hati Jeneral Akbar.

“Jeneral, bagaimana dengan ayah saya semasa waktu dia masih hidup dahulu, ya?” Dia kembali bertanya.

“Ayah kamu itu senior saya. Semasa saya baru diserap masuk ke dalam pasukan ini, ayah kamu banyak mengajar dan mendorong saya untuk terus berusaha. Beliau memang baik hati. Beliau juga genius dan bijak. Itu, biocip yang berada di dalam badan kamu itu, beliau yang cipta. Biocip itu diperbuat daripada tumbuhan yang diproses, jadi ia akan melarut dalam badan si pengguna dalam masa beberapa tahun. Dulu kami semua jahil. Kami tidak pernah fikir tentang agama. Mungkin sebab kami sangat sibuk.

“Sebaik saja kami mula melihat kejayaan kami, kami mula terfikir. Adakah apa yang kami lakukan ini betul di sisi agama? Kemudian, kami bertanya kepada para ulama’ di negara ini dan luar negara. Rata-rata mereka mengatakan haram. Kerana perbuatan ini hendak seperti menandingi ciptaan Yang Maha Kuasa. Sejak saat itu, kami terus menghapuskan semua biocip-biocip yang telah kami program.”Jeneral itu bercerita kisah silam kelebihan Aidid.

“Kenapa kamu semua tidak memusnahkan biocip yang ada di dalam tubuh saya?” Soal dia lagi. Sepertinya dia tidak suka akan kelebihan yang dimiliki.

“Sebab, tubuh kamu sudah mula sebati dengan biocip itu. Dengan itu, hanya ada dua cara saja untuk memusnahkan biocip itu. Cara pertama adalah dengan pembedahan, tapi antara kami tiada yang mampu melakukan perkara seperti itu, kecuali bapa kamu dan...” Kata-kata Jeneral Akbar tergantung di situ.

“Bapa saya dan siapa?” Akbar seperti sudah tidak sabar.

“Jeneral Arka.” Kata-kata Jeneral Akbar terhenti di situ. Dia tahu yang Aidid telah membunuh jeneral pihak musuh itu.

“Dia itu dahulu salah seorang daripada kami, tapi kemudiannya kerana terlalu tamakkan harta, sehingga dia sanggup membelot kepada kami.” Jeneral Akbar memberitahu. Aidid mengeluh panjang.

“Cara yang kedua pula ialah dengan membunuh kamu.” Jeneral itu mengambil nafas. Aidid tersentak.

“Tapi kami tidak akan sesekali lakukan itu. Kami tidak mahu melakukan dosa lagi. Terutama dosa membunuh.”Jawab Jeneral Akbar dengan intonasi penuh kekesalan.

“Kamu adalah bukti kesilapan terbesar yang kami pernah lakukan. Tapi, kamu juga adalah bukti kepada betapa hebatnya anugerah tuhan kepada manusia. Dan semestinya, kamu adalah kebanggaan kami.” Tambah Jeneral Akbar, membuatkan Aidid tersenyum.

Aidid memandang ke langit. Rasa tenang membelai dirinya, membuatkan dia seperti berada di awangan. ‘Apakah perang ini akan berakhir? Apakah keamanan akan muncul di dunia ini, terutama di bumi Tanah Utara ini?’ Dia terus membiarkan persoalan itu terus terpendam di dasar hatinya. Harapnya akan mendapat jawapan suatu hari nanti.
          Barangkali.


Daftar istilah:


1.      Kharab= rosak, binasa, hilang atau berkurang penduduknya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan